PUAS...Ronaldo (kanan) puas selepas tewaskan penjaga gol Czech, Petr Cech sekali gus membantu Portugal ke separuh akhir.
Ronaldo sekali lagi menjadi pemenang perlawanan apabila tandukannya membantu Portugal menewaskan Republik Czech, 1-0 di suku akhir, semalam, untuk bertemu sama ada Sepanyol atau Perancis di separuh akhir.
“Sasaran utama kami adalah mara ke final. Kami mempunyai pasukan yang hebat dan saya berpendapat peluang kami 50-50 selain perlu percaya mampu melakukannya. Kami sudah sedia untuk berjuang,” katanya.
Ronaldo meneruskan persembahan luar biasanya ketika bertemu Belanda pada pertemuan terakhir peringkat kumpulan dengan satu lagi persembahan menarik dan percubaannya terkena tiang gol setiap separuh masa sebelum mengatasi kebuntuan perlawanan menerusi tandukan bertenaga.
“Gol itu menarik,” kata penyerang Real Madrid itu. “Pada 20 minit pertama kami tidak begitu baik tapi memperbaiki persembahan selepas itu. Ia perlawanan yang sempurna buat kami dengan begitu banyak peluang. Pemain Czech langsung tidak mencipta satu peluangpun.
“Kami mempunyai kualiti untuk mara ke separuh akhir. Kami gembira tapi sedar perlawanan berikutnya pasti lebih sukar tapi pasukan ini sudah sedia melakukannya.” Jurulatih Portugal, Paulo Bento setuju pasukannya begitu menyerlah dalam perlawanan menentang lawan yang berdisiplin dan berasa mereka berhak menempah tiket separuh akhir.
“Kami bermain lebih di babak kedua dan sebab itu saya kata kami berhak menang,” katanya. “Kami sudah sedia dengan strategi terbaik. Kami sedar mereka akan cuba bertahan dan menentang kami menerusi serangan balas kerana mereka mempunyai pemain pantas dan teknik yang mantap.
“Semua pemain melaksanakan tugas mereka di padang dan Ronaldo bermain mengikut taktik kami dan dia bijak mencari ruang dalam kawasan penalti.” Portugal akan bertemu sama ada juara bertahan Sepanyol atau Perancis yang menyingkirkan mereka di separuh akhir Euro 2000. “Matlamat kami adalah untuk menewaskan Perancis atau Sepanyol. Tidak akan ada matlamat lain bagi kami.” - Agensi SUMBER
No comments:
Post a Comment