PUAS...Ronaldo (kanan) puas selepas tewaskan penjaga gol Czech, Petr Cech sekali gus membantu Portugal ke separuh akhir.
WARSAW: Cristiano Ronaldo menganggap Portugal sudah ‘sedia untuk berjuang’ merebut tempat di final Euro 2012.
Ronaldo sekali lagi menjadi pemenang perlawanan apabila tandukannya
membantu Portugal menewaskan Republik Czech, 1-0 di suku akhir, semalam,
untuk bertemu sama ada Sepanyol atau Perancis di separuh akhir.
“Sasaran
utama kami adalah mara ke final. Kami mempunyai pasukan yang hebat dan
saya berpendapat peluang kami 50-50 selain perlu percaya mampu
melakukannya. Kami sudah sedia untuk berjuang,” katanya.
Ronaldo meneruskan persembahan luar biasanya ketika bertemu Belanda
pada pertemuan terakhir peringkat kumpulan dengan satu lagi persembahan
menarik dan percubaannya terkena tiang gol setiap separuh masa sebelum
mengatasi kebuntuan perlawanan menerusi tandukan bertenaga.
“Gol
itu menarik,” kata penyerang Real Madrid itu. “Pada 20 minit pertama
kami tidak begitu baik tapi memperbaiki persembahan selepas itu. Ia
perlawanan yang sempurna buat kami dengan begitu banyak peluang. Pemain
Czech langsung tidak mencipta satu peluangpun.
“Kami mempunyai
kualiti untuk mara ke separuh akhir. Kami gembira tapi sedar perlawanan
berikutnya pasti lebih sukar tapi pasukan ini sudah sedia
melakukannya.” Jurulatih Portugal, Paulo Bento setuju pasukannya begitu
menyerlah dalam perlawanan menentang lawan yang berdisiplin dan berasa
mereka berhak menempah tiket separuh akhir.
“Kami bermain lebih di babak kedua dan sebab itu saya kata kami
berhak menang,” katanya. “Kami sudah sedia dengan strategi terbaik. Kami
sedar mereka akan cuba bertahan dan menentang kami menerusi serangan
balas kerana mereka mempunyai pemain pantas dan teknik yang mantap.
“Semua
pemain melaksanakan tugas mereka di padang dan Ronaldo bermain mengikut
taktik kami dan dia bijak mencari ruang dalam kawasan penalti.”
Portugal akan bertemu sama ada juara bertahan Sepanyol atau Perancis
yang menyingkirkan mereka di separuh akhir Euro 2000. “Matlamat kami
adalah untuk menewaskan Perancis atau Sepanyol. Tidak akan ada matlamat
lain bagi kami.” - Agensi
SUMBER